KUCHING (3 OKTOBER 2019) – Program SAMArindok Malam Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2019 Siri IV : Tandak Melayu Sarawak telah diadakan dengan jayanya di GoDown Amphitheater, Tebingan Kuching Sarawak. Majlis tersebut diserikan oleh tetamu jemputan dari Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) iaitu Cikgu Osman bin Zaini dan juga pengunjung tempatan mahupun luar negara datang menyaksikan Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2019 Siri IV : Tandak Melayu Sarawak. Program gilang-gemilang tersebut dianjurkan oleh Amanah Khairat Yayasan Melayu Sarawak (AKYBMS) berskala tiga (3) bulan sekali dengan kerjasama bersama Pengurusan Waterfront Management. Pihak yang terlibat pada Malam Persembahan tersebut ialah Kumpulan Waris Seni pemuzik yang mengiringi penari Badan Seni AKYBMS. Sebanyak 18 orang penari telah terlibat dalam malam tersebut sekaligus berjaya menarikan sebanyak tujuh (7) tarian Melayu Sarawak.

Antara tarian yang dipersembahkan ialah Tarian Bunga Rampai, Tarian Astana Darul Hana (Gajah Oleng), Tarian Zapin Sebat, Tarian Sembah Warisan, Tarian Puteri Sarawak, Tarian Zapin Sindang dan juga Tarian Nopeng Kinek. Program-program seperti ini dibuat untuk meningkatkan visibility kebudayaan Melayu Sarawak selaras dengan Objektif Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak untuk melaksanakan Pelan Strategik Melayu Sarawak (PSMS 2035). Ini juga salah satu usaha Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak untuk memelihara dan mengembangkan warisan kesenian Melayu Sarawak kepada generasi sekarang dan generasi yang akan datang supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Kemuncak program malam tersebut ialah apabila pengunjung tempatan dan luar negara yang datang menari tarian Melayu Sarawak bersama-sama penari Badan Seni Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Ramai pengunjung yang menunjukkan minat terhadap program Tandak Melayu Sarawak ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.