SEMATAN (13 Ogos 2019) – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha masih dirasai oleh masyarakat di seluruh Negara dengan pengisian ibadah korban khusunya. Kerjasama antara Jabatan Agama Islam Sarawak, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur, Pejabat Daerah Kecil Sematan, Masjid Nurul Naim Kampung Telok Melano dan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menganjurkan Majlis Ibadah Qurban di Kampung Telok Melano pada 12 Zulhijjah Bersamaan 13 Ogos 2019 mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sebanyak 4 ekor lembu korban dimana 3 daripadanya sumbangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur dan seekor lagi sumbangan AKYBMS yang bermula seawal 7.00 pagi dan berakhir jam 9.00 pagi. Kerjasama yang diberikan oleh penduduk kampung sekitar Telok Melano memudahkan lagi proses melapah dan membungkus daging Qurban dimana tenaga kerja seramai lebih kurang 30 orang petugas dan sukarelawan terlibat.
Program yang dijalankan di Dewan Masyarakat Kampung Telok Melano tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Haji Mual bin Suud, Pengarah Mufti Negeri Sarawak. ‘Saya berasa amat gembira dengan kerjasama yang amat utuh dari semua pihak dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang’, ujar beliau. Program dimeriahkan lagi dengan sesi agihan daging Qurban kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan oleh Ustaz Haji Mual. Selain itu, Ybhg Datu Dr Haji Sanib bin Said, Pengurus Besar AKYBMS juga telah memberi cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada pihak yang menganjur Majlis Ibadah Qurban tersebut.
Akhir sekali, kemuncak program adalah jamuan makan tengahari bersama tetamu yang hadir. Tradisi ini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Antara menu yang disediakan secara bergotong -royong ini antaranya ayam kicap, ikan masak asam pedas, ulam-ulaman dan pelbagai lagi.

Disediakan oleh Mohd Shafrie Azrie