SAMAtandak Persembahan Tarian Melayu Sarawak Siri ke-2: Kuching, Memartabatkan Tarian Melayu Sarawak

Kuching, Sarawak: 10 Jun 2019, SAMAtandak Tarian Melayu Sarawak telah bertandang di Mydin Mall, Petra Jaya bagi memperkenalkan kepada masyarakat tarian Tradisional Melayu Sarawak serta memperkembangkan bakat anak muda yang terlibat. Persembahan Samatandak mendapat sokongan daripada Mydin Mall, Petra Jaya yang dijadikan sebagai tempat persembahan dan memilih 10 Ogos 2019 sebagai tarikh keramat persembahan. Sejajar dengan wawasan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) iaitu mencemerlangkan bangsa Melayu di Sarawak di dalam bidang sosial, ekonomi, agama, pendidikan dan seni budaya menerima responsif daripada pengunjung yang hadir sangat menggalakkan daripada warga tempatan dan turut disertai oleh Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Haji Sanib Bin Haji Said.

Terlebih dahulu, program yang menghimpunkan kehadiran kira-kira 100 orang pengunjung itu dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis iaitu saudara Yusuf Bin Jalli sebagai pengacara program. Pengisian program ini menampilkan beberapa jenis tarian tradisional Melayu Sarawak iaitu Sembah Warisan, Zapin Sebat, Puteri Sarawak, Zapin Sindang dan Nopeng Kinek yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Seni Tari Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Akhir sekali, program sebegini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat memugar dan melestarikan khazanah seni warisan budaya Melayu Sarawak supaya budaya ini tidak pupus ditelan zaman.

 

Kongsi berita ini