KUCHING, SARAWAK, 20 JULAI 2019 (SABTU) – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu telah mengadakan Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2019 Siri III Pencak Silat di Godown Amphitheater Tebingan Sungai Kuching Sarawak. Persembahan tersebut telah mendapat sambutan yang hebat dari penduduk Kuching khususnya apabila kir-kira 300 lebih orang datang memenuhi Godown Amphitheater tersebut. Tidak kurang juga pelancong-pelancong dari luar negara yang telah memeriahkan lagi aktiviti dimana mereka menjadi penonton pada malam tersebut dan mereka berasa amat teruja melihat persembahan seni mempertahankan diri tersebut. Bukan itu sahaja, pada petangnya iaitu pada pukul 6.00 pm pihak urusetia program dan Perguruan Silat Melayu telah mengadakan ‘Flash Mop’ di sekitar Tebingan Sungai Sarawak bagi menarik minat pengunjung untuk datang ke program tersebut. ‘Program ini telah dilaksanakan hampir 3 tahun berturut-turut, program ini diharapkan dapat menarik minat semua pihak tidak kira bangsa atau budaya khusunya golongan belia di Sarawak’ ujar Datu Dr. Haji Sanib Haji Said iaitu Pengurus Besar AKYBMS. Datu Sanib juga telah hadir ke program tersebut diiringi oleh mahaguru dan guru-guru Perguruan Seni Silat seluruh Sarawak yang bernaung dibawah Majlis Rumpun Seni Silat Sarawak (RSS) untuk merasmikan dan menyaksikan persembahan tersebut.

Persembahan tersebut telah disertai oleh empat perguruan silat di sekitar Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak iaitu Perguruan Seni Silat Keris Naga Dua atau Naga Paloh, Perguruan Seni Silat Jurus 21, Perguruan Seni Silat Pukulan Pendekar Tujuh dan akhir sekali iaitu Perguruan Seni Silat 12 Nekmat Simpang 3. Mereka telah mempersembahkan seni silat yang mereka miliki kepada pengunjung-pengunjung yang datang dan lebih menarik apabila mereka menggunakan tenaga belia untuk mempersembahkan seni silat masing-masing yang diiringi oleh kempulan seni warisan Melayu yang bermain muzik tradisional silat Melayu yang terdiri instrumen muzik seperti gendang silat, Geromong dan Gong. Perkara ini dapat meningkatkan lagi kesedaran khususnya kepada golongan belia untuk menjaga dan memelihara budaya seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa Melayu. Seterusnya, persembahan ini juga dimeriahkan lagi oleh Kumpulan Badan Seni AKYBMS yang mempersembahkan  Tarian Melayu atau tandak Melayu Sarawak dimana mereka telah menyajikan tarian melayu tradisional kepada pengunjung yang datang seperti tarian selamat datang sembah Melayu tak kan hilang didunia dan tarian keris. Pihak urusetia program juga telah mengadakan SAMArindok Silat dimana pengunjung-pengunjung yang hadir turut menyertai sekali mempelajari demostrasi  silat. Hal ini bertujuan memperkenalkan dan mengajar pengunjung yang hadir untuk mengenali lebih mendalam seni mempertahankan diri masyarakat Melayu.

Akhir sekali, program sebegini diharapkan dapat diteruskan di hari dan tahun hadapan bagi meneruskan dan mengekalkan budaya melayu Sarawak dan dapat menyedarkan golongan muda untuk mengekalkan dan memelihara budaya yang dimiliki oleh bangsa Melayu selama-lamanya. Sesuai dengan congan kata AKYBMS iaitu menjadi pembela Melayu Sarawak.

 

 

(Sumber disediakan oleh  Azrie – Julai 21, 2019)