Tetamu-tetamu jemputan yang hadir ke Majlis SAMArindok AKYBMS

KUCHING, SARAWAK, 25 JUN 2019 (SELASA) – Seramai lebih kurang 900 orang para jemputan telah hadir ke Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS di Riverside Majestic Hotel yang terdiri daripada YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr. Abang Johari bin Tun Abang Haji Openg, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Anak Embas, Menteri-menteri, dif-dif kehormat, ketua dan kakitangan Jabatan-jabatan negeri, Persekutuan, Persatuan-persatuan dan ahli keluarga AKYBMS sendiri. Bertemakan ‘SAMAukhuwah, Berkalat Bangsa’, selari dengan keinginan memartabartkan Bangsa Melayu di Sarawak merupakan tujuan utama. Para tetamu jemputan telah disajikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti persembahan Silat Melayu, Tarian Zapin sindang, nyanyian daripada Nur Hafizah Busman, Gendang Sarawak, persembahan teater Kembara Datuk Merpati, Raja Santubong yang memaparkan kegemilangan tamadun Melayu Sarawak pada suatu ketika dahulu dan lain-lain lagi. Bukan itu juga, Majlis ramah tamah ini juga dimeriahkan lagi dengan sesi cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah yang sangat menarik seperti televisyen, ketuhar, set tupperware dan sebagainya.

Di samping itu, Majlis ramah tamah ini juga dimeriahkan lagi dengan kedatangan tetamu kehormat iaitu YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari bin Tun Abang Haji Openg. Kedatangan beliau disambut baik oleh semua tetamu yang datang. Dalam sesi ucapan, beliau telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak akan memberi atau membantu sebanyak RM25 Juta untuk pembinaan Kompleks Wisma Melayu Sarawak. Dalam ucapan beliau juga, beliau menyarankan bahawa anak-anak Melayu Sarawak perlulah diberi keutamaan dan peluang yang sebaiknya demi mengekalkan hak-hak anak jati Melayu Sarawak. Bukan itu sahaja, beliau juga berbangga dengan aktiviti yang dibuat oleh Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dimana ia dapat menyatupadukan dan mengeratkan lagi silaturrahim antara orang-orang Melayu di Sarawak.

 

Tetamu-tetamu Kehormat

Selain itu, ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak telah menegaskan dan menyarankan bahawa hak-hak orang Melayu Sarawak akan dituntut dan dipertahankan oleh AKYBMS iaitu selari dengan visi dan misi organisasi tersebut iaitu menjadi pembela bangsa Melayu Sarawak dan mencemerlangkan bangsa Melayu di Sarawak. Seterusnya, beliau berkata bahawa banyak lagi aktiviti yang akan dilakukan oleh AKYBMS untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara mereka.

Akhir sekali, Majlis ramah tamah aidilfitri yang dilakukan oleh AKYBMS merupakan acara kemuncak bagi mereka setiap tahun. Diharapkan agar aktiviti sebegini dapat dilakukan dan diluaskan lagi agar dapat menyatupadukan komuniti-komuniti bangsa Melayu di Sarawak. Bukan itu sahaja, diharapkan agar aktiviti sebegini juga dapat memberi pengetahuan dan kesedaran kepada anak-anak Melayu di bumi Sarawak.

 

 

 

 

 

 

(Sumber disediakan oleh Azrie – June 26, 2019)