KUCHING, SARAWAK, 10 JULAI 2019 (RABU) – Pementasan teater tari Datuk Merpati, Raja Negeri Santubong anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Kuching sempena Rainforest In The City Festival di Panggung udara semalam. Seramai lebih kurang 600 pengunjung telah menyaksikan persembahan tersebut yang menyajikan pelbagai persembahan yang menghiburkan dan menarik. Bukan itu sahaja, ‘Persembahan Pengembaraan Datuk Merpati ini juga merupakan salah satu cara yang baharu bagi memperkenalkan Melayu kepada masyarakat umum di Sarawak’, Kata Datuk Sanib Said iaitu sebagai penasihat keseluruhan persembahan tersebut. Beliau juga berkata, dengan adanya kebudayaan melalui penceritaan dan tarian tradisional, ia dapat mengetengahkan lagi budaya Melayu suatu ketika dahulu kepada semua pihak. Sejarah dan ketamadunan yang tersendiri dimiliki oleh bangsa Melayu merupakan kekuatan dalam penceritaan Pengembaraan Datuk Merpati tersebut. Hal ini demikian kerana, sejarah Datuk Merpati ini telah mengambil masa yang lama untuk menghasilkan penceritaan yang sahih dan benar melalui penemuan teks dan hikayat Melayu.

Di samping itu, persembahan tersebut telah dilakonkan oleh pelbagai badan-badan seni di Sarawak. Antaranya ialah dua Pertubuhan Silat Melayu Sarawak iaitu Perguruan Seni Silat Hidayah Melayu dan Perguruan Seni Silat Selendang Putih Jam Jalalah dimana mereka dijadikan sebagai elemen untuk memberi suasana aktiviti orang Melayu pada zaman dahulu. Mereka juga dijadikan sebagai tentera-tentera Datuk Merpati. Persembahan Seni Silat Melayu juga dipersembahkan oleh mereka bagi memperkenalkan seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa Melayu uintuk bertempur dengan musuh-musuh mereka. Puisi yang dialunkan pada malam tersebut oleh saudara Faizal Jamil merupakan elemen terpenting untuk menceritakan jalan cerita pengembaraan Datuk Merpati. Bukan itu sahaja, Badan tarian seni Melayu AKYBMS juga dipersembahkan pada malam tersebut.

Akhir sekali, persembahan teater tari Datuk Merpati merupakan salah satu wardah yang signifikan digunakan dalam memartabatkan bangsa Melayu pada zaman sekarang.

 

(Sumber disediakan oleh Azrie – Julai 10, 2019)