Bintulu, Sarawak: 29 Jun 2019 telah dilangsungkan kursus motivasi yang melibatkan 5 buah sekolah menengah iaitu SMK Assyakirin, SMK Baru Bintulu, SMK Kidurong, SMK Kemena dan SMK Bintulu yang bertempat di Dewan Kuliah Utama, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Bintulu. Seramai 105 orang pelajar terlibat dan diiringi oleh guru mereka masing-masing pada hari tersebut.

Program ini telah diadakan oleh pihak Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak pada setiap tahun yang hanya mensasarkan kepada pelajar Melayu-Islam Sarawak sahaja. Program ini merupakan salah satu pelan strategic AKYBMS untuk melahirkan bangsa Melayu yang unggul dan berdaya saing dalam aspek pendidikan, ekonomi, agama, dan sosial. Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan bersama pelajar untuk memberi suntikan motivasi kepada mereka agar lebih berkeyakinan dan bersemangat dalam menghadapi apa-apa peperiksaan dan situasi yang dihadapi.

Antara aktiviti yang didedahkan kepada pelajar ialah sesi ice-breaking, perkenalan diri, segmen membina yakin diri, mengenal perkembangan diri, pendedahan identiti Melayu Sarawak, perbincangan dan latihan pengukuhan diri. Pihak AKYBMS juga telah menjemput penceramah khas iaitu Puan Nur Arani Binti Musa yang merupakan guru kaunseling di SMK Kemena untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai tentang perjalanan dan matlamat hidup pelajar. Kursus tersebut dijalankan selama satu hari sahaja dan ia merupakan sebuah kursus yang ringkas, padat dan menyeronokkan pelajar di samping mengisi waktu dan hari mereka di hujung minggu dengan aktiviti yang bermanfaat dan berfaedah. Pihak AKYBMS turut berasa bangga kerana program ini sentiasa mendapat sokongan dan respon yang positif oleh pihak guru dan ibu bapa kerana ia merupakan sebuah usaha yang amat bermanfaat dalam melahirkan modal insan Melayu-Islam Sarawak yang sebenarnya mempunyai kedudukan yang lebih kukuh untuk pergi jauh dan maju ke hadapan

 

( Sumber disediakan oleh Shakir, 29 Jun 2019)