PENGENALAN: PENGHIJRAHAN KE ARKIPELAGO MELAYU

Manusia telah sampai di Arkipelago Melayu pada Zaman Batu, 70,000 tahun yang lalu dari Afrika.  Mereka telah mengembara semenjak 120,000 tahun dahulu ke arah timur merentasi apa yang dikenali sekarang sebagai Arabia, Persia, India dan Arkipelago Melayu sebelum ke China di utara dan Australia di selatan.  Antara pulau utama pada masa itu adalah Sumatera, Semenanjung, Jawa dan Borneo.  Di sesuatu tempat orang Zaman Batu ini ada yang menerusan pengembaraan dan mengorangi wilayah-wilayah tertentu sehinggalah semua pulau dan benua di planet Dunia ini dihuni manusia.  Di samping itu ada juga orang Zaman Batu ini yang menetap dan bermasyarakat di sesuatu wilayah dan memcipta kebudayaan sendiri yang akhirnya mencipta bangsa dan tamadun tersendiri.

BANGSA MELAYU & ARKIPELAGO MELAYU

Mereka yang terus tinggal selama ribuan tahun di ratusan pulau dan tanjung di Arkipelago Melayu menjadi bangsa Melayu.  Begitu juga di wilayah lain seperti di India dan juga China yang telah mencipta tamadun yang lebih maju.  Dalam bangsa Melayu, seperti juga bangsa lain, terdapat berbagai suku-kaum yang memiliki ciri-ciri umum kebudayaan yang serupa, seperti bahasa yang dipanggil Malayo-Polinesia.  Gua Niah di utara Borneo mempunyai satu tengorak wanita Zaman Batu berusia 40,000 tahun dan merupakan antara tiga bukti terpenting di dunia tentang manusia masa silam.

BORNEO: PULAU TERBESAR

Sebuah pulau terbesar yang terletak di tengah-tengah Arkipelago Melayu dikenali sebagai Borneo sempena nama kerajaan Melayu Barunai yang telah berhubung dengan China pada 860ES (Era Sekarang).  Sebagai sebuah pulau dengan kedudukan strategik itu, pengorangan Borneo sudah pasti semuanya bermula dari kawasan pantai dan bukan dari kawasan pedalaman.  Pada Zaman Batu ini apa bila terciptanya bangsa Melayu mereka seperti juga manusia sezaman adalah masyarakat zaman batu yang primitif.

BERASAL DARI PERSISIR PANTAI

Pergerakan manusia sama ada pengembaraan dan perdagangan pada Zaman Batu di Arkipelago Melayu adalah menggunakan laluan lautan dengan perahu dan kapal.  Kedudukan Arkipelago Melayu di antara tamadun besar China di timur dan Inda di barat mendorong pengaliran pelbagai ilmu dan kebudayaan yang harus diubahsuai dengan kebijakan tempatan untuk mencipta tamadun Melayu sendiri.

Peredaran zaman yang berlaku membawa perubahan kepada bangsa Melayu ini; antara yang penting adalah penerimaan agama Hindu yang kemudian diubahsuai seperti juga kemudian agama Buddha.  Menjelang abad ke-11 agama Islam pula tersebar dan menjadi warisan bangsa Melayu pada masa ini.  Orang Melayu yang tidak berubah mengikut peredaran zaman di pesisir pantai Borneo telah mengasingkan diri dengan berpindah ke kawasan pedalaman dan semakin terpisah dengan perubahan zaman yang datang dari tamadun asing melalui perdangan laut dan sungai.

Orang Melayu yang terpinggir ini kemudian mencipta kebudayaan tersendiri sebagai pelbagai suku-kaum pada zaman moden sebagai Dayak seperti iban, Bidayuh, Kenyah, Kayan dan lain-lainnya.  Pergerakan manusia di Pulau Borneo pada asalnya bukanlah dari pedalaman ke pantai tetapi sebalik dan justera itu pendapat yang mengatakan masyarakat pedalaman merupakan orang yang lebih lama daripada masyarakat pesisir pantai adalah tidak betul.

TAMADUN SCRIPTORIUM

Orang Melayu di Borneo mempunyai ciri-ciri tamadun bangsa Melayu seperti orang Melayu yang lain di ratusan pulau dan tanjung di Arkipelago Melayu.  Antara ciri ketamadunan adalah scriptorium, iaitu sistem penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan pelbagai sistem penulisan yang diubahsuai dari aksara Sanskrit, Pallava dan Arab.  Maka wujudlah karangan tentang undang-undang, sastera dalam berbagai-bagai genre dalam Sanskrit-Melayu, Pallava-Melayu dan akhir sekali Jawi-Melayu.

Walaupun pusat tamadun Melayu itu didapati telah berpindah-randah mengikut ketuanan dan pengaruh, sama ada kerajaan ataupun empayar Melayu dari zaman ke zaman seperti Empayar Srivijaya, Empayar Majapahit, Empayar Barunai, Empayar Melaka, Empayar Acheh, Empayar Johor-Riau dan Empayar Patani.  Namun paksi tamadun Melayu tetap satu dan sama dan yang dipatuhi oleh ratusan negeri Melayu yang kecil yang berselerak di Arkipelago Melayu.  Sebuah kitab yang digunakan oleh raja-raja Melayu Sarawak adalah Tajus as-Salatin untuk dijadikan panduan mentadbir negeri dengan adil.  Contoh tamadun scriptorium adalah seperti berikut:

  • Hikayat Datuk Merpati
  • Syair Tarsilah Cetera Datu Abang Gudam Dengan Temenggon Kadir Negeri Saribas
  • Sejarah Negeri Banting
  • Hikayat Negeri Sarawak
  • Silsilah Raja-Raja Barunai
  • Manuskrip Limbang

NEGERI MELAYU AWAL

Orang Melayu di sekeliling pulau Borneo tidak terkecuali daripada terdedah kepada pelbagai perubahan dari zaman ke zaman.  Mereka juga melonjakkan tamadun mereka dengan mendirikan negeri.  Malah negeri Melayu yang pertama adalah Kutai yang terletak di timur Borneo pada 400ES.  Antara negeri Melayu yang awal adalah Negeri Barunai (860ES), Banjarmasin, Sukadana, Sampit, Bolongan, Pasir, Matan, Sambas, Pontianak, Sanggau, Landak, Sintang, Putusibau yang kini dalam Republik Indonesia.

6 NEGERI AWAL MELAYU SARAWAKDi dalam kawasan negeri Sarawak sekarang, orang Melayu juga telah mendirikan negeri Melayu.  Penyelidikan sejarah berlandaskan manuskrip Jawi-Melayu, sumber dari sekitar Arkipelago Melayu, hasil kajian arkeologi dan karya barat membuktikan wujudnya negeri-negeri Melayu terawal seperti berikut:

  • Santubong (c.600ES)
  • Samarahan (c.1200ES)
  • Sawaku-Sarawak (c.1365ES)
  • Kalaka (c.1365ES)
  • Malanau (1365)
  • Saribas (c.1450ES)
  • Banting (c.1550ES).

Pada tahun 1609 negeri-negeri Melayu ini telah memisahkan diri dari Empayar Brunei dan bergabung di bawah Empayar Johor-Riau.

SISTEM GELARAN-JAWATAN TERSENDIRI

Di kawasan yang pernah diperintah oleh raja-raja Melayu kelihatan terus mengekalkan struktur masyarakat yang sedia ada semasa di bawah kuasa Kesultanan Brunei sehingga menjelang abad ke-19.  Satu ciri yang menunjukkan tamadun yang tinggi adalah dalam bentuk sistem gelaran-pentadbiran, iaitu:

  • Datu Patinggi
  • Datu Temenggong
  • Datu Syahbandar
  • Datu Bandar
  • Datu Hakim
  • Datu Imam.

Jelas sekali pemerintahan Kesultanan Brunei tidak cuba memaksakan sistem mereka dengan penggunaan gelaran-jawatan Pengiran.  Struktur masyarakat tradisional Melayu Sarawak telah diterima kekalkan dan apa bila penjajah Brooke datang, mereka terus menghormati sistem yang sedia ada.

MELAYU DI BORNEO

Walaupun kini orang Melayu Sarawak terdapat di kawasan pesisir dan pertengahan legeh sungai, namun pada zaman awal negeri Melayu terdapat juga petempatan Melayu di kawasan pedalaman.  Dengan adanya negeri-negeri Melayu awal ini, orang Melayu telah berdagang dengan orang Melayu-Dayak di pedalaman.  Antaranya adalah Marudi di Baram, Belaga di Rejang, Ulu Skrang di Batang Lupar, Putusibau, Sintang, Sanggau dan Landak di Batang Kapuas.  Justeru itu tidak tepat mengatakan orang Melayu hanya terdapat di kawasan pesisir pantai.

Semenjak dahulu orang Melayu tersebar di seluruh Pulau Borneo dan tidak tertumpu di sebuah kawasan sahaja.  Keseluruhan penduduk Pulau Borneo adalah 19.8 juta orang (2010) adalah terdiri dari 70% Melayu-Islam, 20% Melayu-Dayak dan 10% China.  Pecahan penduduk Pulau Borneo adalah seperti di bawah:

  • Sarawak, Malaysia: 2,420,009
  • Sabah, Malaysia: 3,120,040
  • Kalimantan Barat: 4,393,239
  • Kalimantan Tengah: 2,202,599
  • Kalimantan Selatan: 3,626,119
  • Kalimantan Timur: 3,550,586
  • Kalimantan Utara: 2,265,937

Brunei Darussalam:  406,200

PENDUDUK MELAYU SARAWAK

Berdasarkan maklumat banci rasmi penduduk Melayu Sarawak telah meningkat dari dekad ke dekad.  Penduduk Melayu Sarawak yang hanya merupakan 17% penduduk Sarawak sekarang telah meningkat kepada 23.4% pada tahun 2015.  Peratusan ini menjadikan penduduk Melayu Sarawak yang kedua terbesar selepas Iban (28%) dan meninggalkan Cina (23.0%), Bidayuh (8%), Melanau (7%), Orang Ulu (6%) dan penduduk yang lain. Pada banci 1947 penduduk Melanau telah dimasukkan ke dalam orang Melayu Sarawak dan jika ini diambil kira maka jumlanh Melayu-Islam pada tahun 2015 adalah sebanyak 30.4%.

Melayu Sarawak telah lama menamatkan fasa merantau dan telah lama mendiami di semua Bahagian.  Mereka bukan sahaja terdapat di pesisir dan pertengah legeh sungai tetapi mendiami juga kawasan pedalaman negeri Sarawak.

KEBUDAYAAN HIDUP

Berbeza dengan suku-kaum bumiputera yang lain, Melayu Sarawak memiliki kebudayaan hidup berbanding kebudayaan kebendaan.  Melayu Sarawak mewarisi pakai baju kurung untuk lelaki dan perempuan.  Orang lelaki dilengkapi dengan sabok kain songket Sarawak atau Brunei dan songkok.

MERCU KUASA

Dengan mewarisi tamadun bertulis, orang Melayu Sarawak berjaya berada di mercu kuasa.  Brooke juga pernah menjadikan Jawi-Melayu sebagai bahasa rasmi bertulis dan mengajar pegawai tadbir orang putih mempelajari bercakap Melayu dan menulis Jawi-Melayu.  Lanjutan dari dasar tersebut maka sebilangan besar pentadbir bumiputera adalah terdiri daripada orang-orang Melayu yang pandai menulis Jawi-Melayu.  Sebagai pegawai tadbir mereka yang terkanan telah dilantik menjadi ahli Council Negeri, iaitu serupa dengan Dewan Undangan Negeri.

Pengalaman Melayu Sarawak dalam mengurus dan mentadbir negeri telah berjaya kekal di mercu kuasa sehingga Zaman Merdeka, kecuali pada tempoh 1963-1973.  Pemimpin-pemimpian Zaman Merdeka tersebut adalah para Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang terdiri daripada:

  • Tun Abang Haji Openg Abang Sap’iee
  • Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman
  • Tun Datuk Patinggi Haji Muhammad Sallahudin
  • Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub
  • Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce Muhammad Nor
  • Pehin Sri Tun Haji Abdul Taib Mahmud

Sementara itu jawatan Ketua Menteri telah disandang oleh:

  • Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub
  • Pehin Sri Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud
  • Datuk Patinggi Haji Adenan Satem

Di samping itu juga jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri pernah juga dipegang oleh anak Melayu seperti:

  • Datuk Abang Yusuf Puteh
  • Tan Sri Haji Bujang Muhammad Nor
  • Tan Sri Haji Hamid Bugo
  • Tan Sri Haji Abdul Aziz Hussain
  • Tan Sri Morshidi Abdul Ghani