Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh!

Salam Samarindok!

Dari zaman ke zaman dalam sejarah manusia akan muncul sesuatu sama ada teknologi atau idea yang akan menyebabkan perubahan besar dalam tamadun manusia. Pada zaman abad ke-21 muncul teknologi komputer dan World Wide Web Internet yang pada saat ini seolah-olah bercantum dalam teknologi telefon pintar dan iCloud pula. Kehadiran teknologi ini mempercepatkan dan memudahkan komunikasi seantero dunia dalam waktu nyata (real time).

Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, pasti boleh dikerdilkan supaya Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu dapat menyebarkan khidmatnya kepada seluruh masyarakat Melayu dari Daerah Lundu di barat hingga ke Daerah Lawas di timur dengan teknologi terbaharu ini.

Dengan adanya pertukaran maklumat dan data serta penyertaan daripada semua daerah maka rancangan pembangunan untuk masyarakat Melayu boleh dijadikan sasaran tepat supaya kemajuan kita terus melonjak.

Selari dengan kemajuan, kita tidak boleh melupakan warisan khazanah tamadun bangsa Melayu di Sarawak. Memandang ke belakang akan dapat menerangkan perjalanan di hadapan dengan mengkaji, mengumpul warisan budaya kita untuk dipaparkan di sesawang kita ini.

Semua ini akan cuba dikendalikan oleh laman web kita. Saya mengalas harapan agar setiap Bahagian di Sarawak akan mempunyai pemberita sukarelawan yang boleh menaikmuat berita dan bahan setiap hari sama ada dengan teks ataupun dalam bentuk video.

Rancangan jangka panjang saya adalah untuk menerbitkan beberapa buah buku hasil kerjasama kita semua nanti. Laman web mengandungi ruang interatif Kamus Biografi Melayu Sarawak, Kamus Bahasa Melayu Sarawak dan Pantun Melayu Mukun Sarawak yang sememangnya projek gotong-royong maya julung kali dilaksanakan. Ini kita boleh capai dengan cepat dengan teknologi terbaharu di Internet.

Selamat melayari laman web ini dan turut menyumbang kita kejayaan kita bersama.

YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Bin Haji Said
Pengurus Besar AKYBMS