Abdul Rahman menyampaikan sijil penyertaan sambil diperhatikan oleh Sanib(keduadari kiri) dan wakil-wakil jabatan dan Muhamad wakil PML.

LIMBANG, 27 APRIL 2019 (SNN) – Melayu di Daerah Limbang telah melahirkan seorang jurutera dan arkitek Melayu Sarawak pertama untuk dijadikan ikon pelajar Melayu sekarang.  Kecemerlangan ini mampu dicapai generasi X Melayu Limbang jika mereka belajar bersungguh-sungguh sejak awal lagi seperti di Tingkatan 1 lagi.

YB Dr. Abdul Rahman Ismail, Menteri Muda Pertanian Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah merasmikan Kursus Pelajar Melayu-Islam Cemerlang (KPMIC) pada petang tadi. Beliau berkata kebolehan anak Melayu dan Islam di Daerah Limbang telah terbukti dengan memegang jawatan tinggi dan penting sama ada dalam dunia swasta ataupun kerajaan. Malah jurutera dan arkitek Melayu-Muslim negeri Sarawak adalah berasal dari pekan Limbang. Jurutera tersebut adalah Abdullah Mohamad Noor dan arkitek pula adalah Muhamad Ali Salleh. Justeru itu beliau meyakinkan pelajar bahawa mereka memiliki potensi dan kebolehan seperti pelajar-pelajar lain di negeri Sarawak ini dan perintis kejayaan dari Limbang itu haruslah dijadikan ikon.

Abdul Rahman sedang menyampaikan ucapan perasmian (Gambar UKAS)

Seramai 118 orang pelajar Tingkatan 1 telah menyertai kursus tersebut.Kursus tersebut dianjurkan oleh AKYBMS dan telah diadakan di Sekolah Menengah Kerajaan Agama Limbang yang terletak di Jalan Pandaruan.  Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK Limbang, SMK Kabong dan SMK Patiambun.  KPMIC kali ini merupakan kali ketiga dan kohort pertama kini berada dalam Tingkatan 3.

Sebahagian daripada para jemputan dan pelajar. ( Gambar SNN)

Terdahulu dari itu Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS telah menyampaikan ucapan alu-aluan.  Beliau berkata KPMIC adalah salah satu program tahunan AKYBMS yang dianjurkan di 7 buah daerah di seluruh negeri Sarawak.  Pada tahun lepas lebih dari 1,000 pelajar telah turut serta.  Program ini digubah berdasarkan data yang menunjukkan anak Melayu-Muslim lazimnya merupakan kumpulan teratas dalam peperiksaan UPSR dalam Darjah 6 tetapi merudum dalam peperiksaan PMR.  Oleh yang demikian KPMIC digubal untuk memantapkan keyakinan diri dan hala tuju untuk pelajar Tingkatan 1.

Turut hadir di majlis perasmian ini adalah wakil Residen Limbang, wakil Pengetua SMK Agama Limbang, wakil Pegawai Pendidikan Daerah, HJ. Muhamad, Pengerusi, Persatuan Melayu Limbang (PML) dan juga Setiausaha Lembaga Amanah Khairat Daerah Limbang.

Gambar kenangan Abdul Rahman, Sanib dan perserta kursus KPMIC (Gambar UKAS)

 

(Sumber:SARAWAKNEWSNETWORK.COM)