KUCHING, 4 April 2019 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Darul Muttaqin, Kampung Sourabaya Ulu telah mengadakan Majlis Sambutan Israk & Mikraj 1440H/2019M yang berlangsung pada petang semalam.
Acara yang menghimpunkan sekitar 80 orang kariah itu turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datu Dr. Haji Sanib Bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS; Ayahanda Penghulu Haji Sulaiman Haji Alim; KK Nazri bin Abdul Rahman; Ketua Kaum Kampung Sourabaya Ulu; KK Jaafar bin Abong, Ketua Kaum Kampung Gersik; Encik Salmi bin Drahman, Pengerusi JKP Surau Darul Muttaqin; Ahli JKP Surau Darul Muttaqin serta kakitangan AKYBMS.

Slot Tazkirah Israk & Mikraj telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Raufa Irman Hj. Abd. Raub selepas solat fardhu Maghrib secara berjemaah. Walaupun masa agak begitu singkat namun pengisian tazkirah tersebut amat padat dan menyentuh beberapa perkara penting kepada jemaah untuk menggali ibrah( pengajaran) daripada sirah Israk dan Mikraj oleh kekasih Allah junjungan Nabi Muhammad SAW.

Solat sunat hajat turut diadakan khusus buat saudara muslim di Palestin yang telah diimamkan oleh Tuan Haji Pawi Bin Ramlee.

YBhg. Datu Dr Haji Sanib juga diberikan ruang dan masa untuk menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para jemaah yang hadir. Beliau berkesempatan menerangkan serba sedikit latar belakang AKYBMS, sejarah asal-usul Melayu Sarawak serta menekankan beberapa aspek penting yang perlu diberikan penekanan untuk membangkitkan semangat membela Melayu bangsa yang unggul di mata dunia.

Pihak AKYBMS dengan rasa bersyukur dan berbesar hati kerana berjaya melaksanakan program ini dengan kerjasama JKP surau Darul Muttaqin. Semoga dengan perhimpunan yang penuh barokah itu mendapat rahmat daripada Allah SWT.