Kampung Luak, Miri 28 Februari: Sebagai satu usaha mengenang jasa perjuangan Rosli Dhoby dan Rukun 13, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri dan Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak telah menganjurkan SAMAceramah 2019: Syarahan Rosli Dhoby. Oleh itu, bacaan Yasin dan Tahlil telah diadakan dan majlis ini disertai sekitar 100 jemaah Masjid Darul Istiqomah Kampung Luak, Miri.

Allahyarham Rosli Dhoby telah dilahirkan pada tahun 1932 di Sibu. Tanggal 2 Mac 1950 merupakan detik bersejarah hukuman gantung sampai mati yang telah dilaksanakan ke atas Rosli Dhoby kerana telah menjadi asasinasi Gabenor British Kedua Sarawak iaitu Sir Duncan Stewart. Rosli telah menggunakan senjata pisau yang digelar ‘badek’ untuk menikam Duncan Stewart. Selain itu, beliau merupakan salah seorang anggota Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) dan selepas tertubuhnya GPMS maka wujudlah Rukun 13 sebagai sebuah misi menentang tindakan Rajah Ketiga Negara Sarawak pada ketika itu diketuai oleh Sir Charles Vyner Brooke.

Faktor yang menyumbang kemarahan orang Melayu Sarawak bermula apabila Sir Charles Vyner Brooke ingin menyerahkan Sarawak Kingdom kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan dan pada masa yang sama telah memungkiri janji untuk menyerahkan Sarawak kepada pemimpin tempatan sendiri. Sehubungan dengan itu, Gerakan Anti-Penyerahan Negara Sarawak 1946 pun terjadi dan kewujudan Rukun 13 adalah untuk menikam Sir Duncan yang dikatakan bersifat angkuh terhadap rakyat Sarawak.

Namun, masyarakat Sarawak melihat Rosli Dhoby sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak dan sebagai “Pahlawan Sejati Sarawak” kerana pengorbanan dan keberaniannya hanya untuk meraih kemerdekaan demi tanahair tercinta. Akhirnya 2 Mac 1950 hingga hari ini dan seterusnya merupakan tarikh bersejarah dan tanda kenangan kita buat pemergiaan Rosli Dhoby.

(Sumber/Disediakan oleh: Bahagian Pendidikan, Agama dan Sosial / Penerangan AKYBMS)