Simunjan, Sarawak: 23 Februari 2019 telah dilangsungkan kursus motivasi yang melibatkan tiga jenis buah sekolah menengah iatu SMK Sri Gadong, SMK Gedong, dan SMK Sebuyau yang diadakan di Dewan Setia Simunjan. Seramai 85 orang pelajar terlibat dan diiringi oleh guru mereka masing-masing pada hari tersebut.

Program ini telah diadakan oleh pihak Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak pada setiap tahun yang hanya mensasarkan kepada pelajar Melayu-Islam Sarawak sahaja. Program ini merupakan salah satu pelan strategik AKYBMS untuk melahirkan bangsa Melayu yang unggul dan berdaya saing dalam aspek pendidikan, ekonomi, agama, dan sosial. Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan bersama pelajar untuk memberi suntikan motivasi kepada mereka agar lebih berkeyakinan dan bersemangat dalam menghadapi apa-apa peperiksaan yang dihadapi.

Antara aktiviti yang didedahkan kepada pelajar ialah sesi ice-breaking, perkenalan diri, segmen membina yakin diri, mengenal perkembangan diri, pendedahan Identiti Melayu Sarawak, perbincangan dan latihan pengukuhan diri. Pihak AKYBMS juga telah menjemput penceramah khas iaitu Encik Samsol Bin Morshidi selaku Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai serba sedikit identiti Melayu Sarawak. Kursus tersebut juga telah dijalankan selama satu hari sahaja dan ia merupakan sebuah kursus yang ringkas, padat, dan menyeronokkan pelajar di samping mengisi waktu dan hari mereka di hujung minggu. Pihak AKYBMS turut berasa berbangga kerana program ini sentiasa mendapat sokongan dan respon yang positif oleh pihak guru dan ibu bapa kerana ia merupakan sebuah usaha yang amat bermanfaat dalam melahirkan modal insan Melayu-Islam Sarawak yang sebenarnya mempunyai kedudukan yang lebih kukuh untuk pergi lebih jauh dan maju ke hadapan.

(Sumber/Disediakan : Bahagian Pendidikan, Agama dan Sosial / Penerangan AKYBMS)