Waterfront, Kuching: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menganjurkan sebuah program yang diberikan nama Samarindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2019 Siri 1: Gendang Melayu Sarawak pada 23 Februari 2019 . Persembahan ini merupakan sebuah persembahan siri 1 oleh pihak AKYBMS dan ianya mempunyai 3 lagi siri yang bakal beraksi pada bulan April, Julai dan September tahun ini.

Persembahan kebudayaan ini telah disaksikan oleh sekitar pengunjung yang bertandang ke Waterfront dan sekali gus bertuah menyaksikan persembahan muzik dan tarian klasik Melayu Sarawak yang signifikan dengan gelaran bermukun atau bernopeng serta diiringi latar belakang muzik gendang, biola dan beberapa orang vokalis. Untuk pengetahuan ringkas, bermukun merupakan persembahan muzik dan tarian tradisional yang sering ditunjukkan semasa aktiviti keramaian, majlis perkahwinan dan majlis-majlis rasmi pada masa kini. Manakala para vokalis pula mendendangkan lagunya dengan berbalas pantun sesama sendiri dan ianya dilakukan secara spontan. Begitulah indah dan keunikan asli budaya bermukun yang telah diamalkan dari zaman dahulu kala lagi.

Terdapat tiga buah kumpulan yang telah mempersembahkan persembahan mantap hingga memukau para penonton yang terdiri daripada orang tempatan malahan pelancong dari luar negara. Tiga buah kumpulan tersebut ialah Kumpulan Anak Seri Buana (kategori remaja), Sri Buana (kategori dewasa), dan Sri Kenyalang 3 (kategori veteran). Di samping itu, koordinator kumpulan gendang ini telah diketuai oleh Cikgu Yusuf dan ahli-ahli penari Badan Seni AKYBMS pula telah diketuai oleh Cikgu Amir yang turut menyumbangkan dua jenis tarian pada malam tersebut iaitu tarian selamat datang serta tarian selingan mereka iaitu Tarian Nopeng Kinek.

Matlamat utama program ini dianjurkan adalah untuk mempromosikan adat dan kebudayaan Melayu Sarawak agar tidak lapuk dan dilupakan oleh generasi muda sesuai dengan pada masa kini. Selain itu, seni tradisi ini menjadi cerminan ketamadunan bangsa yang merangkumi pemikiran, aktiviti serta kearifan lokal masyarakat. Perkara ini juga adalah salah satu inisiatif dan misi organisasi AKYBMS dalam memartabatkan bangsa dan kebudayaan Melayu Sarawak selaras dengan Pelan Strategik 2015 hingga 2035.

Oleh itu, ucapan setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada Pengurus Besar AKYBMS Yang Berbahagia Datu Haji Sanib Said, Encik Azuan Jemat selaku pengarah program serta staf sokongan yang terlibat kerana telah menjayakan program yang amat unik dan mantap.

(Sumber / Disediakan :Bahagian Kebudayaan, Penyelidikan dan Media /  Penerangan AKYBMS)