SEKADAU – Rombongan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah berkunjung ke Balairung Sari Istana Kusuma Negara Sekadau, Kabupaten Sekadau, Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia bersempena dengan acara Penobatan Raja Kusuma Negara Sekadau Gusti Muhammad Effendi pada tanggal 15 Disember 2018 yang lepas.

Kunjungan budaya ini bertujuan untuk menjejak sejarah negeri-negeri Melayu yang bertebaran di Pulau Borneo ini puluhan dasawarsa dahulu. Encik Yusuf Jalli yang mewakili Pengurus Besar AKYBMS turut berkesempatan menyampaikan cenderamata kepada Sultan Sekadau dan Sultan Sanggau sebagai tanda pertautan antara saudara Melayu-Islam yang saling bergalur tarsilahnya.

Turut hadir bersama delegasi dari Sarawak ialah Encik Samsol Morshidi Bujang Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan kakitangan AKYBMS.

Acara penobatan ini juga menyaksikan kehadiran delegasi negeri-negeri Melayu sekitar Borneo iaitu dari Majlis Adat Istiadat Melayu Brunei, Sulu, Sintang, Sanggau, Mempawah, Pontianak, Sambas dan ramai lagi.

(Sumber:Ketua Bahagian Pendidikan, Agama dan Sosial)