KUCHING: Penganjuran SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2018 Siri IV: Pencak Silat kali ini, mendapat sambutan yang sungguh meriah daripada warga Kuching. Ketibaan orang ramai bermula seawal 7.00 malam memenuhi ruangan tempat duduk Godown Ampotheter tidak beralih hingga ke jam 10.30 untuk menyaksikan pelbagai persembahan pencak Silat daripada perguruan yang turut serta  dan tarian keris daripada artis tari Badan Seni AKYBMS (Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak).

Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2018 Siri IV: Pencak Silat ini dianjurkan sepenuhnya oleh AKYBMS  merupakan siri program kebudayaan terakhir sekali gus menjadi persembahan siri penutupan, iaitu Pencak Silat yang diadakan pada 24 November 2018. Siri penutupan ini bagi tahun 2018 dimana terdapat empat siri kesemuanya iaitu Siri I: Gendang Melayu Sarawak ( 24 Febuari 2018), Siri II: Puisi Melayu Tradisional ( 12 Mei 2018) , Siri III: Nyayian Lagu Melayu Kontemporari ( 25 Ogos 2018) dan Siri IV: Pencak Silat (24 November 2018).

Matlamat utama program diadakan adalah untuk meningkatkan visibility masyarakat melayu Sarawak melalui seni budaya dan pada penganjuran kali ini, AKYBMS cuba mempromiskan kebudayaan Melayu berbentuk Irama Melayu Kontemporari yang kurang dikenali terutama dalam kalangan generasi muda-mudi. Keduanya, program ini cuba memelihara dan menghidupkan semua seni persembahan pentas Melayu Sarawak dan ketiga, menyemai minat dan kebanggaan kepada generasi muda terhadap seni budaya Melayu Sarawak yang unggul, sekali gus menonjolkan identiti serta jati diri Melayu Sarawak dalam kalangan masyarakat tempatan. Secara tidak langsung kesenian Melayu Sarawak menjadi antara modal tarikan pelancongan di Sarawak.

Seawal jam 8.00 malam, riuh-rendah kedengan suara pengacara, Encik Yusuf Jalli menjemput hadirin sekitar Tebingan Sungai Kuching untuk memenuhi ruangan dewan Godown Amphitheater yang berupaya memuatkan sekitar ratusan orang. Seterusnya, ketibaan tetamu kehormat, YBhg. Datuk Dr. Haji Wahbi bin Haji Junaidi merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS bersama YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said merangkap Pengurus Besar AKYBMS diiringi Muzik Silat yang dimainkan oleh Kempulan Waris Seni.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Wahbi bin Haji Junaidi, beliau menekankan kepada usaha mempromosikan kebudayaan Melayu Sarawak bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan, bahkan juga kepada pelancong-pelancong asing yang datang daripada luar negara. Ujar beliau, kebudayaan Melayu Sarawak perlu ditonjolkan dalam kalangan pelancong luar supaya dampak (visibility) Melayu Sarawak terlihat bersama-sama dengan kebudayaan kaum lain di Sarawak. Menariknya, ucapan aluan beliau kali ini menganjurkan agar anak muda mencintai seni silat untuk melahirkan belia Melayu yang berdisiplin dan berkarisma tinggi. Ini memperlihatkan keterbukaan AKYBMS mengangkat estatikam budaya Melayu Sarawak bukan sahaja untuk golongan belia malah diperingkat tempatan, termasuk dalam kalangan pelancong-pelancong antarabangsa.

Antara pengisian program SAMArindok Kebudayaan Melayu Sarawak 2018 adalah persembahan perguruan silat yang menampilkan Perguruan Seni Silat Siantong Melayu Asli, Perguruan Seni Silat Gerak Kuntau Betawi Darul Hana Kuching, Perguruan Seni Silat Makrifat dan Perguruan Seni Silat Dendam Perantau. Persembahan ini terlah dipecahkan kepada beberapa segmen antara iaitu segmen pertama buku gelangan oleh guru utama Cikgu Roslan dari  PS Siantong Melayu Asli dan guru muda  Cikgu Haspan dari PS Gerak Kuntau Betawi  Darul Hana Kuching. Segmen kedua adalah persembahan setiap perguruan, segmen ketiga persembahan SAMArindok Silat iaitu pentas terbuka kepada para penonton dan pengunjung tempat serta pelancong asing untuk merasai pengalaman bersilat yang dibantu oleh jurulatih perguruan silat. Segmen terakhir adalah tutup gelanggang oleh Guru Utama PS Dendam Perantau dan  PS Naga Paloh.

Persembahan selama sekitar satu jam 30 minit di dewan Amphitheater tersebut berakhir pada jam 10.30 malam selepas sesi penyerahan sijil penghargaan kepada Perguruan Seni Silat Siantong Melayu Asli, Perguruan Seni Silat Gerak Kuntau Betawi Darul Hana Kuching, Perguruan Seni Silat Makrifat dan Perguruan Seni Silat Dendam Perantau. Penganjuran program ini adalah diharapkan agar dapat melestarikan kebudayaan masyarakat Melayu Sarawak khusunya dan Melayu amnya untuk terus subur dan mekar dalam kalangan generasi baharu. Selain itu, program ini diharapkan akan dapat memperkenalkan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak sebagai entity teras yang menjulang keberadaan Melayu di Sarawak khususnya.