Penangguhan Kursus Pelajar Melayu Islam Cemerlang (KPMIC) 2018 Siri II dirasmikan oleh ADUN N61 Bekenu, YB Puan Hajah Rosey binti Haji Yunus selaku Tetamu Kehormat.

BEKENU, 12 Mei 2018 – Kecemerlangan di peringkat PT3 dan SPM seharusnya menjadi landasan kepada setiap pelajar sekolah menengah untuk merintis laluan kerjaya pada masa hadapan.

“Peringkat menengah rendah adalah tempoh masa peralihan antara kanak-kanak dan awal remaja. Fasa ini begitu penting kerana melibatkan pembangunan fizikal, emosi, spiritual dan peningkatan kepada kecerdasan akal pelajar.”

“Oleh demikian, apa yang saya perhatikan, modul dalam program KPMIC ini turut memberikan tumpuan kepada perkembangan kendiri remaja serta proses-proses yang terlibat. Malah, para pelajar turut dibimbing dengan lebih tuntas untuk membina keyakinan diri, melakar wawasan dalam kehidupan dan mempelajari simulasi perjalanan hidup secara latihan interaktif dalam kumpulan (LiDK).”

YB Rosey Yunus, ADUN kawasan N61 Bekenu merupakan wanita dan anak pertama Kedayan pertama berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

YB Hajjah Rosey Haji Yunus, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS berkata ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Kursus Pelajar Melayu-Islam Cemerlang (KPMIC) 2018 Siri II: Subis di sini hari ini bertempat di Dewan Masyarakat Bekenu, Subis. Program jelajah pendidikan yang telah diadakan sejak tahun 2015 ini melibatkan tiga buah sekolah sekitar Miri iaitu SMK Bekenu, SMK Suai dn SMK Luar Bandar Miri dengan penyertaan 100 orang pelajar.

Rosey turut menyeru para pelajar agar terus gigih mengasah bakat serta mempertingkatkan kualiti diri agar dapat dioptimumkan ke arah kecemerlangan. Masyarakat Bekenu ujar beliau lagi, amat memerlukan tenaga mahir dan graduan yang berkebolehan dalam pelbagai lapangan bagi memajukan masyarakat.

Justeru, usaha pihak AKYBMS untuk menuntun anak-anak di peringkat menengah rendah lagi agar meletakkan hasrat dan tekad untuk melanjutkan pendidikan ke persada varsiti haruslah diberikan pujian dan sokongan yang padu.

“Saya berharap agar program sebegini akan diteruskan lagi pada masa yang akan datang dan melibatkan lebih ramai lagi pelajar Islam di sekitarnya. Pendekatan pemerkasaan jati diri dalam kalangan peserta melalui bahan-bahan terpakai amat baik melalui kaedah yang kreatif dan menjana inovasi pelajar.”

 

bpas/ 

 

 

Dewan Masyarakat Bekenu yang dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa dan multimedia yang merupakan lokasi tahunan Kursus Pelajar Melayu Islam Cemerlang di Bekenu.

Penceramah Encik Ashudi bin Ismail,Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri dijemput khas memberikan perkongsian bersama pelajar khususnya melibatkan perubahan kendiri, visi dan misi sebagai remaja Melayu Islam.

Pelajar turut menjalani aktiviti LDK berkumpulan dinamakan “Bagai telur dihujung tanduk” yang bermatlamat memupuk kemahiran kepimpinan, kerjasama dan kecekalan.