Pada 8 Mei yang lepas, Media Dakwah Sarawak (MDS) telah menjemput YBhg. Datu Dr. Sanib Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang juga pakar sejarah tempatan terutamanya Sejarah Sarawak memberikan ceramah dengan tajuk “Arikpelago Melayu: Sejarah yang Terhijab” di Studio MDS, Jalan Semarak.

Dalam perkongsian hampir 1 jam lebih, mantan Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara, UNIMAS telah berkongsi dengan para pendengar pandangan dan penemuan-penemuan dijumpai selama lebih daripada 40 tahun dalam penyelidikan terutama sejarah Melayu Sarawak khususnya penemuan kerajaan 6 kerajaan awal Melayu Sarawak, prakolonial Brooke di pesisir pantai dan lembah sungai Sarawak.

Kerajaan Melayu terawal pesisir pantai Sarawak: Negeri Melayu Santubong

Lembah pantai dan Gunung Santubong menjadi saksi bisu kegemilangan kerajaan Melayu Santubong pada zaman silam.

Persoalan mengenai apakah bangsa terawal mendiami kepulauan Borneo dapat dijawab berdasarkan bukti kerajaan-kerajaan awal yang ada di kepulauan Borneo.

Menurutnya, banyak bukti-bukti telah ditemui seperti manuskrip-manuskrip syair, undang-undang dan riwayat hidup penguasa (Raja memerintah) atau pemimpin tempatan di samping bukti tapak arkeologi seperti batu bergambar, batu buaya dan tinggalan-tinggalan lain di lembah delta sungai Sarawak.

Dalam ‘Hikayat Datuk Merpati’, Batu Buaya di Santubong merupakan lokasi pendaratan Sultan Tengah selepas baginda terselamat daripada serangan di laut. Di kawasan ini juga menjadi tempat pertempuran antara baginda dengan pengikutnya yang khianat dengan membunuh baginda.

Mengambil contoh kerajaan Melayu Santubong wujud sekitar abad ke 7 Masih (600M). Penemuan negeri terawal di pesisir pantai berkenaan dibuktikan dengan adanya struktur batu bergambar, batu buaya selain riwayat hidup penguasa dalam teks manuskrip ‘Hikayat Datu Merpati’. Awalnya Kerajaan Melayu Santubong sezaman dengan Kerajaan Melayu Sriwijaya. Tambahnya, kewujudan kerajaan di Santubong sebagai bukti kewujudannya peradaban terawal di pesisir pantai Sarawak tidak dapat dinafikan. Beberapa kajian ilmiah yang telah membuktikan kewujudan ketamadunan dan telah disahkan oleh banyak kajian ilmiah sama ada oleh pengkaji dan ilmuwan sejarah Barat, Jepun mahupun China yang telah dituliskan dalam Sarawak Museum Journal. Baru-baru ini juga beliau memaklumkan ada menerima teks manuskrip syair yang dipercayai terkait dengan Kerajaan Melayu Awal negeri Santubong.

Berlainan dengan kelompok-kelompok primitif disekitarnya, Santubong dan beberapa negeri Melayu lain di Sarawak merupakan sebuah masyarakat Melayu yang telah mencapai kriteria sebuah peradaban ketamadunan. Jelas Datu Dr Sanib, antara kriterianya adalah memperlihatkan sistem pentadbiran yang jelas iaitu perhubungan dengan kerajaan Melayu terkuat pada ketika itu, iaitu Negeri Melayu Brunei Darul Salam sebagai penaung. Kata pakar sejarahwan tersebut, kerajaan-kerajaan Melayu Sarawak ini bernaung di bawah kekuasaan Kerajaan Brunei melalui pembayaran ufti berbentuk beras dalam sukatan pasu dan sampan.

Oleh yang demikian, Melayu Sarawak boleh dikatakan merupakan kelompok masyarakat terawal membina tamadun di pesisir pantai Sarawak.

Mantan Pengarah Muzium Sarawak itu juga berkongsi kegembiraanya penemuan kerajaan-kerajaan awal Melayu Sarawak mendapat pengiktirafan di peringkat nasional, pihak kerajaan dan kelompok akademik. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memasukan kerajaan-kerajaan Melayu Sarawak dalam silibus terbaharu tingkatan 1 dan 2 baru-baru ini.

Gerakkan manipulasi sejarah

James Broke kembali ke England, meninggal dunia dan disemadikan di tanah asal kelahiranya, Sheepstor Churchyard.

Terkait dengan gerakkan mengembalikan corak pemerintahan The White Rajahs, beliau juga mempersoalkan tindakan yang dianggap beliau keliru dengan hakikat sebenar pemerintahan keluarga Brooke. Pada beliau, kelompok berkenaan perlu menilai keseluruhan sistem pemerintahan Brooke, sebelum hendak mengangkat ‘kegemilangan’ pemerintahan White Rajahs sebagai gagasan utama gerakkan mereka. Fakta-fakta sejarah oleh pelbagai penyelidikan jelas sekali menunjukkan Sir James Brooke atau Rajah Putih dan keluarganya mengiktiraf kepentingan Melayu Islam. Hakikat ini, sama sekali kontradiksi terhadap kepentingan gerakan berkenaan.

Antara beberapa hakikat yang perlu difahami oleh kelompok berkenaan ialah;

Pertama, golongan perabangan Melayu banyak diberi kuasa dengan menjadi kelompok majoriti dalam Majlis Tertinggi (High Council) kerajaan Brooke. Oleh itu, golongan yang sama perlu diberi pengiktirafan kedudukan politik oleh gerakan-gerakkan terbabit sekiranya benar-benar ingin mengembalikan pemerintahan Broke.

Antara isi perkara yang dipersetujui dan diperakui oleh James Broke adalah mengiktiraf perundangan dan adat istiadat Melayu Sarawak.

Kedua, sistem pemerintahan White Rajahs terdahulu memberi pengiktirafan kepada undang-undang Syariah Islam. Justeru, perjuangan kelompok berkenaan mahu mengembalikan pemerintahan Brooke perlu juga berjuang mengambalikan dan mengiktiraf undang-undang Syariah Islam.

Ketiga, semasa pemerintahan Brooke, sistem tulisan Jawi mendapat pengiktirafan sebagai sistem tulisan rasmi pemerintah. Selain itu, kedudukan Jawi sebagai sistem tulisan rasmi sudah tentunya menunjukkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi pentadbiran Raja Putih. Maka, gerakkan berkenaan juga perlu memperjuangkan bersama bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi tulisan rasmi digunakan oleh institusi pentadbiran ‘pemerintahan idaman’ mereka.

Sifat primitif bukti masyarakat awal ?

Banyak negeri-negeri Melayu terbina Pesisir pantai Borneo sebagai petunjuk mereka merupakan kelompok terawal membuka penempatan di kepulauan Borneo – Datu Dr Sanib Said

Tidak. Andaian sesetengah pihak menjadikan keprimitifan sesebuah masyarakat sebagai tanda awalnya kelompok masyarakat tersebut bebanding masyarakat yang telah maju adalah lemah.

Kerajaan awal seperti Mesopotamia, China, India, Parsi dan Yunani diiktiraf sebagai antara kerajaan awal yang berjaya membina tamadun di dunia. Kesemua tamadun-tamadun berkenaan adalah tamadun awal di benua masing-masing dan mereka juga tamadun termaju di dunia.  Jelas beliau, oleh sebab berkenaan, ahli-ahli sejarah sekian lama menidakkan tanggapan keprimitifan sesuatu kelompok pedalaman sebagai bukti masyarakat awal. Sebaliknya, tamadun-tamadun di pesisir pantai dan muara sungailah merupakan masyarakat induk kepada kelompok-kelompok masyarakat kecil di sekitar tamadun-tamadun tersebut.

Sama juga halnya dengan tamadun di arkipelago Melayu. Masyarakat Melayu Besar termasuk Melayu Sarawak merupakan masyarakat induk kepada kelompok-kelompok kecil di sekitar kepulauan Melayu. Dalam konteks kepulauan Borneo, geografi kawasan sebuah pulau besar memustahilkan masyarakat di pedalaman menjadi masyarakat awal yang menduduki kepulauan ini. Apatah lagi dengan menyatakan asal usul turun daripada langit. Tegas beliau, secara logik, mana-mana kelompok manusia berhijrah perlu mendarat di pesisir pantai terlebih dahulu sebelum berpindah ke penempatan yang lebih pedalaman.

Beliau menjelaskan teori ‘berjalai’ tidak relevan.Tidak mungkin sesebuah masyarakat induk berhijrah dari satu kawasan ke satu kawasan dan akhirnya menetap di kawasan pedalaman. Sebetulnya, asal puak nomad ialah pecahan kelompok kecil daripada masyarakat induk mendiami pesisir pantai. Mereka ‘berjalai’ dari kawasan pesisir dan muara sungai ke kawasan-kawasan hulu sungai.

Semasa keterpisahan dengan masyarakat induk, kelompok pecahan ini mula membina identiti masyarakat tersendiri berdasarkan persekitaran mereka. Setelah beberapa generasi, kelompok ini mula menunjukkan perbezaan daripada beberapa aspek, tetapi masih mempunyai pengaruh masyarakat induk mereka.

Pendek kata, menyatakan masyarakat nomad sebagai induk kepada tamadun besar adalah sama sekali tidak relevan.

Semasa berlakunya perpisahan kelompok kecil tersebut, masyarakat induk Melayu Sarawak di pesisir pantai dan muara sungai menerima kemajuan yang pesat dalam segenap aspek. Jaringan perhubungan dengan tamadun-tamadun awal China dan India di samping kerajaan-kerajaan Melayu awal di sekitar membolehkan masyarakat Melayu Sarawak di pesisir pantai mula berpakaian, tahu menulis, beragama dan menyusun sistem pentadbiran. Hakikat tersebut memperlihatkan ciri masyarakat induk sama seperti tamadun-tamadun besar di Eropah, Timur Tengah, India dan China.

Keprimitifan tamadun tak bererti ia awal. Cuma perubahan tidak sampai kepada mereka. Tak pakai baju bukan buktinya terawal, tapi kain tidak sampai.” – Datu Dr Sanib Said.

40 tahun penyelidik sejarah

Melihat sejarah dengan daripada sumber tempatan menemukan banyak kerajaan-kerajaan Melayu Sarawak berbanding cara Barat mengkaji kita – Datu Dr Sanib Said

Menjadi penyelidik sejarah selama lebih daripada empat dekat banyak mematangkan pemahaman beliau tentang sejarah tempatan. Sepanjang tempoh berkenaan, beliau menghabiskan hampir separuh umurnya mencari pembuktian kerajaan-kerajaan tersebut.

Selama ini saya mengkaji datang dari laut, lihat Santubong sebagai pelabuhan, sama seperti pelabuhan yang lain. Pelabuhan, pelabuhan, pelabuhan. Tidak ada apa-apa saya temui. Begitulah cara Barat mengkaji masyarakat tempatan”. Sambung beliau lagi “Tapi apabila saya bercampur gaul dengan masyarakat tempatan, pandangan saya berubah. Barulah saya temui banyak manuskrip-manuskrip dari masyarakat tempatan, barulah saya tahu mesyarakat tempatan ada menyatakan Santubong mempunyai sebuah kerajaan lama”

Salah masa yang bermakna yang dikongsi oleh beliau adalah apabila berjaya menemui petunjuk kewujudan kerajaan awal Melayu Sarawak, Santubong, dalam teks “Hikayat Datuk Merpati” didapatinya.

Saya mengambil masa beberapa tahun memahami buku tersebut (Hikayat Datu Merpati). Susah nak faham. Berkali-kali saya baca masih sukar nak faham. Tiba-tiba saya menemui satu ayat tertulis. membina kerajaan’. Itulah key-wordnya!”

Di samping itu, selain daripada panduan dalam manuskrip-manuskrip lama yang masih disimpan oleh waris-waris kerajaan lama, gerak hatinya kuat menyatakan adanya kerajaan-kerajaan awal Melayu di pesisir pantai Sarawak ketika beliau ketika meneliti peta kepulauan Borneo.

Peta lokasi kerajaan-kerajaan Melayu-Islam di kepulauan Borneo.

Katanya, “Keliling pantai Borneo penuh dengan kesultanan Melayu-Islam, di bahagian barat Borneo, Sambas, Mempawah, Landak, Pontianak, Kubu, Sukadana, Matan, Katapan, di bahagian selatan, Sampit, Banjarmasin dan di Timur kita ada Kutei, Tenggaron, Pasir, Balongan dan Salot, balik ke atas, kita ada Brunei. Tapi saya lihat pesisir pantai Sarawak itu kosong. Kenapa ? Jadi timbul persoalan, mungkinkah ada kerajaan-kerajaan Melayu di kawasan tersebut ?”.

Kesimpulan

Kewujudan 6 buah kerajaan Melayu yang maju meletakan masyarakat ini sebagai masyarakat induk kepada kelompok-kelompok masyarakat kecil di sekitarnya. Tamsilan bagaimana tamadun-tamadun awal dunia menjadi masyarakat induk kepada kelompok-kelompok kecil di kawasan yang sama merupakan gambaran sama bagi masyarakat Melayu Sarawak dan puak-puak kecil di kepulauan Borneo.  Keprimitifan sesuatu kelompok sebagai tanda masyarakat awal merupakan persepsi salah yang harus diperbetulkan, tegasnya. Tidak dapat tidak sesuatu masyarakat itu perlu meletakkan kelompoknya berkait dengan masyarakat disekitar terutama dalam konteks arkipelago bangsa yang besar. Oleh itu, masyarakat Melayu Sarawaklah masyarakat induk yang mendiami kepulauan Borneo.

Makam persemadian Sultan Tengah di Santubong pernah diziarahi oleh DYMM Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibn Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, sebagai kunjungan ke atas leluhur keluarga baginda sultan.